Sejarah Majlis Raja-Raja bermula dengan penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu bagi
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada 1 Julai 1896, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang
terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah
ditubuhkan. Sehubungan dengan itu, satu Majlis
Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah ditubuhkan untuk
membincangkan hal-ehwal dan kepentingan bersama dengan pemerintah Inggeris.
Mesyuarat Pertama Majlis Raja-Raja Negeri Melayu
Bersekutu, atau lebih dikenali sebagai Mesyuarat Durbar telah diadakan pada 13-17 Julai 1897
di Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Durbar timbul
daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja.
Durbar juga bermaksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh
Raja-Raja ataupun gabenor atau wizurai British di India pada masa dahulu.
Raja-Raja Melayu yang hadir dalam mesyuarat Durbar tersebut ialah DYMM Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah (Negeri Perak), DYMM Sultan Abdul Samad (Negeri Selangor), DYMM Tuanku Muhammad (Yang Di-Pertuan Besar Negeri
Sembilan), dan DYMM Sultan Ahmad (Negeri Pahang).
LATAR BELAKANG
Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang
ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuaan Malaysia sebagai
tempat bagi Raja dan Yang Di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam
beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
kerajaan supaya mendapatkan nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Urusun pemilihan
dan perlantikan Yang Di-Pertuan Agong juga terletak pada Majlis Raja-Raja.
Selain itu, Majlis ini merupakan kuasa tertinggi
dalam hal ehwal agama islam di Malaysia. Majlis ini dianggotai oleh semua
Sembilan orang Raja Melayu dan empat orang Yang Di-Pertua Negeri di Malaysia.
Mengikut peraturan, hanya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) raja-raja sahaja yang
layak mempengurusikan masyuarat dan Majlis ini dipengerusikan mengikut giliran
yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.
YAB Menteri Besar atau Ketua Menteri hadir sebagai
penasihat kepada DYMM raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri masing-masing. Seri
Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari
kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat dan menjadikan
mesyuarat ini sebagai mesyuarat ‘tertinggi’ di Malaysia.
KEPENTINGAN KAJIAN
Hasil kajian ini penting untuk
(a)
Meningkatkan pemahaman
mengenai kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong dalam
konteks Raja Berpelembagaan.
(b)
Menambah
dokumentasi tentang kajian sejarah Malaysia
(c)
Dijadikan
panduan dalam pengajaran.
SKOP KAJIAN
Kajian
ini hanya berdasarkan tentang penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu
sekitar tahun 1986. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada negeri
Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah ditubuhkan.
Sehubungan
dengan itu, satu Majlis Raja-Raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
telah ditubuhkan untuk membincangkan hal-ehwal dan kepentingan bersama dengan
pemerintah Inggeris.
Penyelidikan
ini juga tertumpu kepada kedudukan istimewa dan statusnya dalam Negara. Selain
itu, Majlis Raja-Raja juga mempunyai kuasa budi bicara yang meliputi beberapa
perkara yang terkandung di dalamnya.
Maklumat
mengenai kajian ini diperolehi melalui beberapa sumber sekunder seperti buku
Pengajian Malaysia, Internet serta bahan bacaan yang berkaitan dengan tajuk
yang dikaji.
DAPATAN KAJIAN
Asal usul Majlis Raja-Raja
Majlis
Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya dalam tahun 1948 sebagai menggantikan
Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis
Raja-Raja Melayu (Durbar). Ianya pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada
tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama
diadakan ialah pada 18 Februari 1948. Mesyuarat ini dibuat pertama kali
dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.
Antara tahun
1948 hingga 1957, Mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan sebanyak 50 kali. Antara
sumbangan yang dibuat untuk kebajikan orang Melayu adalah seperti yang berikut:
1. Penubuhan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian
Tinggi Majlis Raja-Raja (Mesyuarat ke-8, 1949)
2. Mengehadkan kemasukan tenaga buruh dari
negeri China dan India
3. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi walaupun bukan sebagai bahasa kebangsaan.
Pada
awalnya, Dato' Onn Jaafar, Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Abdul Wahab,
Dato' Nik Ahmad Kamil Mahmood dan Dato' Hamzah bin Abdullah yang masing-masing
merupakan Menteri besar Johor, Perak, Kelantan dan Selangor telah memainkan
peranan penting dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
"Majlis
ini merupakan perhimpuan yang paling agung di negara ini. Meskipun Majlis ini
tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang atau mengenakan cukai ataupun
menyekat perbelanjaan awam, ia sangat berpengaruh. Majlis ini merupakan badan
penghubung yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri pada
tahap yang tertinggi. Mesyuarat yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan
Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan, dan Raja-Raja dan Yang
di-Pertua Negeri bersama-sama dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri
masing-masing ini, memberikan peluang kepada mereka untuk membincangkan masalah
bersama yang mungkin dihadapi oleh mana-mana negeri dan memandangkan Mesyuarat
sebegini biasanya diadakan secara sulit, mereka boleh berterus terang secara
hormat. Bagi Perdana Menteri pula, Mesyuarat sebegini merupakan forum yang
bernilai untuk menerangkan dengan lebih lanjut lagi tentang dasar-dasar
persekutuan yang telah dan akan ditetapkan."
Majlis
Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan
satu-satunya institusi yang sedemikian rupa yang wujud di dunia pada masa kini.
Majlis
Raja-Raja juga unggul dari beberapa segi, kerana sesetengah peruntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda oleh Parlimen sahaja, kerana
persetujuan haruslah diperoleh daripada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.
Peruntukan tersebut ialah:
1. Pindaan terhadap Perkara 153 mengenai
kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang
lain-lain.
2. Pindaaan Perkara 152 mengenai kedaulatan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
3. Pindaan bagi peruntukan yang lain-lain.
Undang-undang
yang berkaitan dengan pindaan sempadan negeri digubal oleh Parlimen, selain
undang-undang yang digubal oleh perundangan negeri berkenaan. Walau
bagaimanapun, undang-undang ini juga memerlukan persetujuan daripada Majlis
Raja-Raja terlebih dahulu. Hal ini dinyatakan dalam Perkara 2, Perlembagaan
Persekutuan.
Mengikut
sejarah negara kita, peruntukan Perkara 2 yang berkaitan dengan pindaan
sempadan negeri telah digunakan sebanyak 3 kali.
1. Penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
pada tahun 1973, yang diambil dari negeri Selangor.
2. Penyelesaian masalah sempadan antara negeri
Kedah dan Pulau Pinang.
3. Pewujudan Wilayah Persekutuan Labuan pada
tahun 1984
Fungsi Majlis Raja-Raja
Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila Negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:-
§ Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan - peruntukan Jadual Ketiga;
§ Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;
§ Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan ini memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
§ Melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
§ Memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42
dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar Imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.
Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Y.A.B Perdana Menteri dan Raja-Raja yang lain dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.
Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemulian atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.
Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain)
Majlis Raja-Raja juga melantik:
§ seorang wakil untuk menganggotai Majlis Angkatan Tentera, menurut Perkara 137 Perlembagaan.
§ seorang wakil sebagai Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa & Pustaka menurut Akta yang berkenaan.Selain tiga fungsi ini, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi seperti berikut:
1. Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata.
2. Mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
3. Menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
4. Sumber penghormatan dan kebesaran.
5. Fungsi diplomatik dengan melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing.
6. Menghadiri pelbagai majlis dan acara.
Bidang Kuasa Yang Di-pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agung mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Fungsi sebagai Ketua Negara dapat dilihat dalam tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Eksekutif
Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.
Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:
1. Melantik seorang Perdana Menteri.
2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.
Perundangan
Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:
1. Memanggil parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa
2. Memberhentikan dan membubarkan parlimen
3. Memberi ucapan dalam mana mana majlis-majlis Parlimen
4. Memperkenalkan rang undang-undang
. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.
Kehakiman
Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah:
2. Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).
3. Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun.
4. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu.
Selepas menerima representasi itu, Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya. Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau mengekalkan hakim.
5. Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.
6. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.
Baginda juga adalah Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri berkenaan. Di Sabah dan Sarawak, kuasa pelantikan diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri.
Kuasa sebagai Raja Berperlembagaan
Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga
kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Melaka,Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara
Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah:
1. Melantik seorang Perdana Menteri
2. Menangguhkan pembubaran parlimen
3. Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.
KESIMPULAN
Dari perbincangan di atas jelaslah Majlis Raja-Raja telah diberi peranan, kuasa dan kedudukan yang jelas mengikut Perlembagaan Persekutuan. Walaupun berlaku sedikit sebanyak krisis dan kekurangan dapat disimpulkan Majlis Raja-Raja telah diberi satu kedudukan yang istimewa. Dengan lain perkataan ia lebih tinggi dari Parlimen dari segi kedudukannya dan mungkin dari segi kuasa ia masih boleh diperbahaskan. Ini berlaku tidak lain adalah bagaimana Perlembagaan itu ditafsirkan. Perlembagaan Negara perlu diingat digubalkan berdasarkan tolak ansur dan bermaufakatan antara beberapa bangsa yang berada di Negara ini. Ia sudah tentu tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Dengan kata lain, semua pihak tidak akan mendapat semua hak masing-masing. Maka dalam keadaan tersebut dan terbukti pada hari ini Negara Malaysia telah lahir sebagai sebuah Negara yang begitu aman dan salah satunya hasil dari perlembagaan tersebut dan lebih khusus, Majlis Raja-Raja telah memainkan peranan serta menggunakan kuasa dan kedudukannya dengan bijaksana dan terpuji. Selain itu, keberkasanan Majlis ini bukan sahaja terletak kepada kuasa, peranan dan kedudukan yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan sahaja tetapi Majlis Raja-Raja terus relatif dan berjaya memainkan peranannya diluar dari kuasa, peranan dan kedudukan yang diperuntukkan dalam perlembagaan.